NEW YORK: Seorang wanita mengalami detik-detik memalukan apabila terpaksa diselamatkan bomba selepas sebelah tangannya tersangkut pada lubang tandas di rumahnya. Portal Mirror melaporkan, mangsa yang dikenali sebagai Gracie Henderson baru berpindah ke rumah baharu dan mahu menyelesaikan masalah tandas tersumbat. Namun dia tidak mempunyai pelocok tandas, sebaliknya menggunakan tangannya untuk membersihkan lubang tandas tersebut. Bagaimanapun tindakannya itu memakan diri apabila tangan kanannya tersangkut pada lubang tandas dan dia terpaksa menebal muka menelefon pihak bomba bagi mendapatkan bantuan. Anggota penyelamat bergegas ke rumah mangsa di New Caney dekat Houston dan mereka tidak mempunyai pilihan selain membawa keluar tandas bersama Henderson keluar rumah bagi memudahkan operasi menyelamat. Pihak bomba menggunakan penukul untuk memecahkan tandas itu bagi mengeluarkan tangan Henderson. Lebih memalukan lagi, jiran-jiran Henderson turut berkumpulan untuk menyaksikan operasi menyelamat itu. Bagaimanapun Henderson tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia tidak kisah apabila video kejadian itu tersebar dalam internet serta ditonton beribu-ribu kali.