JAKARTA: Lebih 1,000 hiasan bunga-bungaan memenuhi ruang bangunan Balai Kota di sini sejak beberapa hari lalu bagi menghargai sumbangan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama dan timbalannya, Djarot Saiful Hidayat. Minggu lalu, satu mesej tersebar di media sosial meminta sesiapa yang mahu mengucapkan terima kasih kepada Basuki atau dikenali sebagai Ahok supaya menghantar hiasan bunga ke bangunan berkenaan. Sejak itu, beratus-ratus hiasan bunga lengkap dengan ucapan diletakkan di beberapa lokasi di hadapan Balai Kota yang menempatkan pejabat gabenor. Selain itu, ratusan penduduk dilihat datang ke bangunan itu bagi memberi sokongan dan mengucapkan terima kasih kepada Ahok. “Terima kasih untuk segalanya. Kamu adalah gabenor terbaik yang pernah kami miliki,” kata ucapan yang ditempatkan bersama hiasan. Ahok dan Djarot bakal melepaskan jawatan mereka selepas kiraan awal ketika pilihan raya gabenor pada minggu lalu menunjukkan mereka tewas dengan peratusan yang besar. Bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan bakal dilantik gabenor Jakarta yang baru tidak lama selepas keputusan rasmi diumumkan bulan depan. Ahok yang beragama Kristian mendapat pujian penduduk kerana usahanya menyelesaikan masalah di Jakarta tetapi sokongan terhadapnya jatuh mendadak selepas dia didakwa menghina agama Islam.