suria

Sembilan Budak Antara 24 Maut Insiden Tanah Runtuh

BISHKEK: Sembilan kanak-kanak antara 24 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh yang melanda sebahagian perkampungan di Kyrgyzstan pada pagi Sabtu.

Kejadian yang mengakibatkan enam rumah tertimbus berlaku di Ayu, daerah Osh di negara Asia Tengah yang bergunung-ganang berlaku jam 6.40 pagi (waktu tempatan).

“Seramai 24 rakyat Kyrgyzstan, sembilan daripadanya kanak-kanak, mati tertimbus,” kata jurucakap Kementerian Darurat, Elmira Sheripova kepada AFP.

Laporan awal mengatakan empat maut dan sekurang-kurangnya 20 hilang.

Seramai 266 anggota penyelamat termasuk pekerja perubatan dan askar dikerahkan ke tempat kejadian.

Menteri Darurat, Kubatbek Boronov, diterbangkan ke tempat kejadian atas arahan Presiden Almazbek Atambayev untuk mengambil semua langkah perlu termasuk membantu keluarga mangsa.

Atambayev dalam ucapannya di rangkaian YouTube presiden mengucapkan takziah dan menggesa penduduk kampung mematuhi arahan supaya meninggalkan kediaman mereka jika berlaku cuaca buruk.

“Paling menyedihkan, dua atau tiga hari sebelum kejadian penduduk enggan berpindah walaupun diarah berbuat demikian.

“Saya merayu kepada anda semua. Nyawa kita, terutama seorang anak, terlalu berharga berbanding harta benda!” katanya.

Sementara itu, Boronov berkata, 40 keluarga yang tinggal berhampiran zon bencana dipindahkan ke kem sementara kerana bimbang kejadian berulang.

Pegawai tempatan, Alisher Bakyshev berkata, penduduk diarahkan berpindah, Mac lalu, kerana risiko tanah runtuh, dan 34 keluarga mematuhinya tetapi ada yang kembali senyap-senyap.- AFP


Ayu, Osh, Kementerian Darurat

Artikel Berikut

Hari Ke-100 Donald Trump

Artikel Lain