SELEPAS sekian lama menanti, akhirnya dunia pengangkutan mencapai satu revolusi baharu apabila kereta terbang akan mula dijual secara komersial. Kereta yang dinamakan sebagai Pal-V Liberty yang merupakan kenderaan dua alam iaitu boleh bergerak di atas daratan dan udara, akan boleh didapati di pasaran hujung tahun ini dengan harga 425,000 pound sterling (RM2.3 juta). Dengan menggunakan konsep helikopter, kenderaan itu dianggap sebagai sesuai dan selamat digunakan oleh pemandu apabila berdepan kesesakan lalu lintas. Kereta Pal-V Liberty mempunyai kemampuan untuk berlepas secara menegak dan memiliki saiz seperti saiz normal kenderaan di jalan raya. Tempahan awal kereta itu sudah dibuka dan pelanggan pertama dijangka menerima kenderaan tersebut pada hujung tahun depan. Kereta canggih itu dicipta oleh syarikat PAL-V dari Belanda dan boleh membawa dua penumpang pada satu-satu masa. Dengan berat 910 kilogram, kereta itu boleh mencapai kelajuan 180 kilometer sejam ketika bergerak sama ada di udara dan darat.