NEWARK: United Airlines sekali lagi menjadi kontroversi, kali ini kerana menerbangkan penumpang ke laluan yang salah. Penumpang, Lucie Bahetoukilae, sepatutnya terbang dari Newark, New Jersey ke Paris di Perancis, tetapi akhirnya diterbangkan lebih dari 4,800km ke San Francisco. Ketika syarikat penerbangan itu menghalakan semula penerbangannya ke Perancis, Bahetoukilae, telah dibawa terbang lebih dari 28 jam, ABC7 News melaporkan. United, yang menyelesaikan kejadian itu dalam tuntutan mahkamah minggu lalu, mengakui bahawa ia adalah satu 'kegagalan dahsyat' dari pihaknya. Pengalaman pahit Bahetoukilae bermula apabila dia menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty. Tanpa diketahui, United telah membuat perubahan pintu masuk pada saat akhir, menyebabkan dia menaiki pesawat yang salah. Bahetoukilae yang tidak dimaklumkan mengenai pertukaran itu melalui e-mel atau oleh kakitangan di pintu masuk mendapati terdapat penumpang lain telah duduk di tempat duduknya selepas menaiki pesawat. Anak saudaranya, Diane Miantsoko, memberitahu ABC7 News bahawa atendan penerbangan telah melihat tiket penerbangannya yang jelas tercatat penerbangannya dari Newark ke Charles de Gaulle. Tetapi staf berkenaan sekadar 'melihat' dan kemudian tetap menyuruhnya duduk tempat duduk lain dan bukannya mengesahkan bahawa dia berada dalam penerbangan yang betul. Miantsoko, yang tidak berhasrat menuntut bayaran balik berkata kejadian ini adalah kecuaian keselamatan yang serius di pihak United. "Dengan apa yang berlaku di negara ini, semua orang perlu lebih berhati-hati," katanya. "Mereka tidak memberi perhatian. Emak saudara saya mungkin 'seseorang'. Dia boleh jadi seorang pengganas dan membunuh orang dalam penerbangan itu dan mereka tidak tahu, mereka tidak menangkapnya." Ketika dihubungi, United dilaporkan memohon maaf dan mengakui kesilapannya apabila meletakkan Bahetoukilae dalam penerbangan yang salah. United telah membuat bayaran balik kepadanya dan telah diberikan satu baucar untuk satu lagi perjalanan ke Paris. Kejadian itu adalah yang terbaru dalam rentetan kontroversi yang melanda syarikat penerbangan Amerika berkenaan. Pada 9 April, cara United mengendalikan penumpang David Dao berhubung masalah yang terlebih tempahan di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare Chicago mencetuskan tindak balas global. Pada akhir April, seekor arnab gergasi yang diangkut dari London ke Chicago dengan kargo ditemui mati semasa ketibaan. – The Straits Times/Asia News Network