SEOUL: Korea Utara pada Ahad sekali lagi melancarkan peluru berpandu balistik yang dipercayai mampu mencapai sasaran hingga ke wilayah Guam di Amerika Syarikat (AS) sekali gus mencetuskan kebimbangan terbaru, lapor agensi berita Jepun Jiji Press. Menurut tentera Korea Selatan dan kerajaan Jepun, peluru berpandu dilancarkan dari Kusong di rantau barat laut Korea Utara kira-kira pukul 5.28 pagi itu jatuh ke dalam laut di perairan Jepun selepas terbang selama 30 minit. Sementara itu, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe membantah tindakan Korea Utara dan berpendapat ia satu tindakan yang tidak boleh dikompromi. Justeru itu katanya, Jepun akan mengekalkan kerjasama dengan AS dan Korea Selatan serta akan memastikan keselamatan rakyat Jepun. Menteri Pertahanan Tomomi Inada berkata, peluru berpandu itu dipercayai model terbaru dan berupaya mencapai ketinggian lebih 2,000 kilometer. Pelancaran peluru berpandu itu adalah yang pertama sejak Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengambil alih jawatan pada Rabu, susulan itu Moon turut mengadakan mesyuarat majlis keselamatan negara. Presiden Korea Selatan menyifatkan tindakan Korea Utara itu satu pencabulan jelas terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mengancam keamanan dan keselamatan Semenanjung Korea serta masyarakat antarabangsa. Pelancaran peluru berpandu terbaru Korea Utara berkenaan dilakukan selepas ujian pada Mac dan April. Pada 6 Mac, Korea Utara melancarkan ujian empat peluru berpandu, tiga daripadanya jatuh ke dalam perairan Jepun, pelancaran pada 29 April pula dikatakan menemui kegagalan. - BERNAMA