SINGAPURA: Satu kebakaran yang berlaku di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi (CAG) pada petang Selasa berjaya dipadamkan Pasukan Pertahanan Awang negara itu. Namun pihak pengurusan lapangan tersebut menasihatkan penumpang bahawa penerbangan yang berlepas dari terminal itu akan mengalami kelewatan. Dalam satu kenyataan di Facebook, polis menerima panggilan kecemasan di balai berlepas terminal tersebut kira-kira pukul 5.43 petang. Pegawai polis dan pasukan Pertahanan Awam Singapura berjaya mengawal kebakaran itu. Seorang jurucakap CAG memberitahu The Straits Times bahawa alat penggera kebakaran diaktifkan di terminal itu kira-kira 5.40 petang disebabkan asap yang dikesan melalui lubang udara. "Pemindahan di terminal itu dimulakan dan pasukan kecemasan CAG berada di lokasi kejadian," kata jurucakap tersebut. CAG dalam kenyataannya di Facebook pada pukul 6.38 petang memberitahu mereka telah mengenal pasti punca kebakaran itu.Katanya, operasi penerbangan di terminal tersebut turut terjejas.