SINGAPURA: Operasi penerbangan di Terminal 2 Lapangan Terbang Changi kembali beroperasi secara berperingkat berikutan kebakaran kecil pada petang Selasa. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah memberi kelulusan untuk menyambung semula operasi di Terminal 2 dan penerbangan akan disambung semula secara berperingkat. Operasi akan bermula dengan beberapa penerbangan tiba," menurut Lapangan Terbang Changi yang dikemas kini dalam akaun Facebooknya. "Orang ramai dinasihatkan menyemak laman web kami atau aplikasi iChangi untuk butiran penerbangan tertentu," menurut lapangan terbang itu. Para penumpang penerbangan yang berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Changi petang tadi, boleh menjangkakan kelewatan jadual penerbangan yang ketara berikutan satu kebakaran kecil di terminal balai berlepas. Bagi menjamin keselamatan, Terminal 2 ditutup. Semua penerbangan yang berlepas dan tiba di Terminal 2 akan dipindahkan ke Terminal 3 sehingga diberitahu kelak," menurut lapangan terbang Changi dalam kenyataan menerusi Facebook sebelum ini. Menurut lapangan terbang itu, maklumat penerbangan sedang dikemas kini dan penumpang perlu menyemak skrin maklumat penerbangan di terminal dan di laman web Lapangan Terbang Changi untuk barisan daftar masuk, pintu berlepas dan butiran bagasi. "Kami telah mengenal pasti punca kebakaran. Keadaan terkawal. Operasi Penerbangan di Terminal 2 terjejas. Kami akan memaklumkan apabila operasi bersambung semula," menurut lapangan terbang itu seperti dilaporkan Bernama. Menurut lapangan terbang itu, penggera kebakaran di terminal diaktifkan pada kira-kira 5.40 petang disebabkan asap yang melalui lubang udara. "Pemindahan terminal dimulakan dan pasukan Khidmat Kecemasan Lapangan Terbang Changi berada di tempat kejadian," kata lapangan terbang itu. Sementara itu, SCDF mengesahkan kebakaran kecil berlaku di Terminal 2 lapangan terbang itu dan ia dapat dipadamkan SCDF," menurut lapangan terbang itu melalui maklumatnya yang dikemas kini dalam Facebook. Menurut lapangan terbang itu, dua orang dibawa ke hospital kerana terhidup asap.