suria

Rumah Sewa Medan Buat Bom

Polis mengawal ketat di sekitar kawasan rumah pangsa yang pernah disewa Salman Abedi di Blackley.

RUMAH pangsa tingkat 12 yang disewa Salman Abedi dikenal pasti sebagai lokasi pemuda itu menghasilkan bom untuk melancarkan serangan di Manchester Arena baru-baru ini.

Kediaman di kawasan Blackley di sewa selama tujuh minggu dan ketika meninggalkan rumah pangsa itu, pemiliknya mendapati ada tanda-tanda anak pasangan warga Libya itu sedang menghasilkan bahan letupan.

Laporan DailyMail menyebut, susulan maklumat pemilik rumah itu, Aiman al-Wafi, sepasukan polis menyerbu premis berkenaan.

Sebelum ini, polis menemui sejumlah bahan kimia, peroksida di kedai gunting rambut milik sepupunya di Moss Side juga di Manchester.

Awal pagi Sabtu, dua lagi lelaki ditahan, masing-masing berusia 22 dan 20 tahun.

Penahanan terbaharu ini menjadikan keseluruhannya 13 individu ditahan berkaitan serangan yang mengorbankan 22 nyawa itu.

Sebelum ini, Mirror melaporkan, pengebom nekad ini menggunakan pinjaman pendidikan bernilai ribuan pound bagi membiayai dana rancangan keganasannya.

Pemuda berusia 22 tahun itu melanjutkan pelajaran di Universiti Salford dalam jurusan perniagaan.

Memetik laporan The Telegraph, Abedi menerima pinjaman pendidikan sekurang-kurangnya £7,000 (RM38,279) pada 2015.

Dia dipercayai menerima lagi pinjaman dengan jumlah yang sama pada 2015.

Abedi turut dipercayai memindahkan £2,500 (RM13,672) kepada adiknya di Libya sejurus sebelum serangan di Manchester. 


Blackley, Salman Abedi

Artikel Sebelum

Artikel Lain