WASHINGTON: Presiden Donald Trump mahu umat Islam mengambil peluang keberkatan dan kesucian sempena Ramadan ini untuk menolak keganasan yang digerakkan militan Islam. "Bagi pihak rakyat Amerika Syarikat, saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam. "Sepanjang Ramadan ini, marilah kita sama-sama memastikan generasi masa depan bebas daripada kezaliman dan dapat beribadat serta menyampaikan pandangan masing-masing dengan aman," katanya. Dalam mesejnya kepada 1.6 bilion umat Islam di dunia, Trump berkata, semangat Ramadan mengukuhkan kesedaran kewajipan bersama untuk menentang keganasan, mengejar kedamaian dan membantu golongan miskin atau berdepan konflik. "Tahun ini, ia bermula ketika dunia bersedih dengan kematian mangsa tidak berdosa dalam serangan pengganas kejam di United Kingdom dan Mesir, tindakan tidak bermoral yang bertentangan dengan kesucian Ramadan," katanya. Menurutnya, tindakan itu cuma mengukuhkan tekad untuk menewaskan pengganas dan ideologi kumpulan militan itu. Ketika mengadakan pertemuan dengan puluhan pemimpin negara Islam di Riyadh, dalam kunjungannya ke Arab Saudi, baru-baru ini, Trump berjanji untuk bersama memerangi keganasan. - AFP