LONDON: Facebook mengaktifkan ciri Safety Check (Pemeriksaan Keselamatan) beberapa jam selepas insiden serangan di London yang dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban pada Sabtu. Kira-kira dua jam selepas kejadian disahkan berlaku, ciri tersebut mula diaktifkan bagi pengguna yang berada di sekitar kota London. Ciri Safety Check diperkenal Facebook bagi pengguna mengesahkan mereka 'selamat' dalam insiden berkenaan dengan menekan notifikasi daftar masuk. Langkah sama pernah dilakukan semasa serangan di Westminster Bridge, London, 21 Mac lalu dan letupan bom di konsert Ariana Grande di Manchester Arena pada 23 Mei lalu. Kejadian terbaru di London ini berlaku kira-kira 10 minggu selepas insiden di Westminster dan dua minggu selepas insiden di Manchester. Jaringan sosial ini mula diperkenalkan pada 2011 dan sehingga serangan di Paris pada 2015, ia hanya digunakan untuk bencana alam sahaja. Bagaimanapun, fungsinya diperluaskan susulan serangan di Nice dan Berlin.