suria

Maut Di Pangkuan Tunang

Christine Archibald merupakan antara tujuh mangsa yang terbunuh dalam serangan pengganas di London Bridge. Foto Reuters

OTTAWA: Mangsa pertama serangan pengganas di London Bridge pada Sabtu lalu dikenal pasti sebagai warga Kanada, Christine Archibald, lapor media Kanada, CBC News.

Christine yang merupakan antara tujuh yang maut dalam serangan itu dilaporkan menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan tunangnya.

CBC yang memetik beradik tunangnya melaporkan wanita berusia 30 tahun itu berada di London bersama tunangnya, Tyler Ferguson.

Menurut abangnya, Mark, ketika kejadian, Tyler berjalan hanya sedikit ke depan dari Christine.

"Dia (Tyler) terdengar bunyi seretan tayar dan apabila dia memandang ke belakang, dia melihat keganasan berlaku dan orang di dalam van mula menyerang orang ramai," katanya.

"Dia cuba melakukan CPR (bantuan pernafasan) kepada tunangnya. Mereka cuba melakukan segalanya yang boleh untuk menyelamatkannya. Christine bagaimanapun meninggal dunia di pangkuannya," tambahnya.

Pasangan itu tinggal di Belanda selama lapan bulan, di mana Tyler bertugas sebagai akauntan.

Tyler berkunjung ke London di atas urusan perniagaan selama seminggu, manakala Christine datang menemaninya pada hujung minggu.

Mark berkata, kedua-dua mereka merancang untuk pulang ke Kanada selepas Tyler menamatkan kontrak di luar negara.

"Mereka saling menyintai dan telah merancang mengenai masa depan mereka.

"Sudah tentu ia sesuatu yang sukar buat dirinya apabila cinta hati pergi meninggalkannya." – The Straits Times/Asia News Network

Artikel Lain