suria

Tular Budak 12 Tahun Kirim Surat Kepada Ahok Di Penjara

PADA umurnya 12 tahun, Allegra Freya Berlinawan telah mengutuskan surat kepada Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama yang ketika ini menjalani hukuman penjara.

Malahan, remaja perempuan itu tidak teragak-agak  meluahkan sokongannya terhadap bekas Gabenor Jakarta itu.

Allegra bertuah apabila surat yang dikirimnya itu dibalas Ahok.

Menurut kompas.com, surat itu didahului dengan ucapan: “Orang yang baik ibarat lilin. Mereka membakar diri mereka demi memberi cahaya pada yang lain."

Isi kandungannya mencatatkan ucapan terima kasih Allegra kepada Ahok kerana menjawab soalannya ketika lawatannya ke Pusat Bandar tahun lepas dan juga kerana mengubah Jakarta menjadi tempat yang lebih baik.

Allegra juga menyampaikan doa dan sokongannya kepada Ahok dan keluarganya.

Di dalam surat balasnya, Ahok berterima kasih pada Allegra kerana sudi mengirim surat kepadanya, beliau juga meluahkan harapannya semoga kanak-kanak itu akan sentiasa bersemangat untuk berkhidmat pada negara.

“Saya baik-baik sahaja,” katanya.

Ahok telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun selepas didapati bersalah kerana menghina agama.

Kedua-dua surat berkenaan telah menular di dalam laman media sosial.

Fifi Letty Indra, seorang peguam dan juga kakak kepada Ahok telah mengesahkan bahawa surat itu sememangnya ditulis oleh Ahok.

Dia juga menyebut bahawa mereka merancang untuk membuat satu buku daripada surat-surat yang diterima dan dibalas oleh Ahok sepanjang masanya di penjara.

“Saya dan Teguh (salah seorang peguam Ahok) sedang memilih surat-surat yang sesuai,” kata Fifi.


Ahok, Allegra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain