suria

Kenapa Pengganas Pakai Jaket Bunuh Diri Palsu?

Gambar yang dikeluarkan Polis Metropolitan, London pada Ahad menunjukkan tali pinggang 'bunuh diri' palsu yang dipakai penyerang dalam tragedi berdarah London Bridge pada 3 Jun lalu.

LONDON: Jaket bunuh diri palsu yang dipakai penyerang dalam tragedi berdarah di London Bridge diperbuat daripada botol air plastik pakai buang yang dipasang dengan tali pinggang kulit, kata polis pada Ahad.

"Saya tidak pernah melihat taktik ini di UK (United Kingdom) sebelum ini di mana pengganas mencetuskan ketakutan maksimum dengan memakai bahan letupan palsu di badan mereka," kata komander polis, Dean Haydon yang mengetuai siasatan itu.

Pasukannya mengeluarkan beberapa gambar yang menunjukkan botol-botol mempunyai kesan darah dan dilitupi dengan pita berwarna perak dan hitam, serta dilekatkan bersama tali pinggang kulit.

"Sesiapa yang melihatnya pada malam itu mungkin beranggapan ia adalah asli. Sukar untuk membuat spekulasi apakah motif ia dipakai," kata Haydon dalam satu kenyataan.

"Mereka mungkin merancang untuk melakukan serangan itu dalam keadaan mengepung atau mungkin mereka melihatnya sebagai perlindungan daripada ditembak."

Khuram Butt, Rachid Redouane dan Youssef Zaghba melancarkan serangan pada Sabtu malam minggu lalu sehingga mengorbankan lapan orang.

Dalam kejadian itu, mereka menaiki sebuah van dan merempuh pejalan kaki sebelum menikam mangsa secara rambang di London Bridge.

Kesemua mereka kemudiannya ditembak mati oleh pasukan polis.

Insiden berkenaan merupakan serangan pengganas yang ketiga di Britain dalam tempoh beberapa bulan, dan didakwa dilakukan oleh kumpulan militan IS. 

Polis menahan 20 orang selepas serangan itu dan tujuh orang masih dalam tahanan pada Ahad. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain