suria

Pejalan Kaki Langgar Kereta, Minta Ganti Rugi

Seorang lelaki dipercayai mabuk sengaja melanggar kereta seorang pengguna jalan raya di Pasir Ris Farmway 2, Singapura. - Facebook/Terry Loo Peng Leong

SINGAPURA: Seorang timbalan presiden jualan, Terry Loo sedang memandu di Pasir Ris Farmway 2 ketika dia ternampak seorang lelaki di tengah-tengah jalan tersebut.

Terry memberhentikan keretanya kerana berhati-hati dengan situasi itu, namun lelaki tadi bukan sahaja tidah berganjak malah berlari pecut ke arah keretanya.

Melalui rakaman kamera papan pemuka yang dirakam oleh Terry, lelaki yang memakai kemeja-T putih dan seluar kuning paras lutut melompat ke atas kenderaannya seolah-olah dia dilanggar.

Terry memuat naik video tersebut di akaun facebook miliknya pada pukul 4.30 petang Ahad.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu The Straits Times bahawa dia melalui kawasan berkenaan bersama anak lelaki dan perempuannya kerana ingin membeli makanan untuk haiwan peliharaan mereka.

Ketiga-tiga mereka semakin terkejut apabila lelaki berbaju putih itu mula menendang kereta yang dipandu Terry, jenis Honda Vezel beberapa kali.

Ketika Terry turun daripada kereta terbabit untuk menghalang lelaki itu, dia ditolak.

Kata Terry, suspek memberitahu bahawa dia cedera dan mahukan wang pampasan.

"Dia tunjuk tiga jari, saya rasa dia minta Dolar Singapura 300 (RM924)," katanya.

Terry kemudiannya menunjukkan rakaman kamera papan pemuka dan lelaki itu berhenti meminta wang daripadanya.

Tidak lama kemudian, pihak polis tiba lalu menahan suspek kerana sudah menerima panggilan mengenai keadaan mencurigakan lelaki tersebut yang menyebabkan kekacauan di kawasan berhampiran.

Kata polis, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.22 petang mengenai seorang lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk di Nombor 16, Pasir Ris Farmway 2.

Lelaki berusia 35 tahun itu kemudiannya ditangkap kerana melakukan perbuatan terburu-buru.

Terry berkata, dia dan keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi bonet keretanya kemek.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain