BANGKOK: Sila Sutharat, seorang pembekal ayam dari Phetchaburi, Thailand, memiliki teknik yang unik untuk membakar ayam. Berbeza dengan kebanyakan orang menggunakan api atau dapur gas, Sutharat menggunakan teknik solar untuk memasak ayam. Tanpa menggunakan oven atau arang batu, dia menggunakan 1000 cermin kenderaan yang memfokuskan kuasa cahaya matahari menjadi sinaran cahaya yang kuat. Dia memasak daging ayam dengan suhu lebih 300 darjah celcius cahaya matahari. Seperti pembekal yang lain, Sila juga pernah memanggang ayamnya di atas arang, tetapi semuanya berubah pada 1997 apabila pemerhatiannya memberi idea yang bernas apabila mengambil kira pengalaman terkena pancaran matahari dari tingkap bas sehingga dia dapat merasakan bahangnya. “Saya dapat menukarnya menjadi sebuah tenaga,” katanya sambil menambah dia mula mencari idea untuk memerangkap cahaya matahari dan menggunakannya untuk memasak ayamnya. “Mereka kata saya sudah gila kerana pada mereka, ia adalah mustahil,” Sutharat memberitahu AFP bagaimana reaksi yang diterima apabila memberitahu ideanya. Tetapi dia tidak membiarkan gurauan dan hinaan mereka menjejaskannya, dan akhirnya, dia berjaya melakukannya. Ciptaannya iaiut panel yang diperbuat dari 1,000 cermin kecil betul-betul mengikut perancangannya dan membenarkannya memasak 1.5 kilogram ayam dalam masa 10 hingga 15 minit. “Selepas masa berlalu, mereka berkata: ‘Sebenarnya, awak boleh lakukannya’, pembekal ayam itu mengingati kata-kata rakannya. Bingkai besi yang memegang cermin-cermin itu memfokuskan sinaran matahari ke arah ayam pusing yang diperap. Dalam beberapa minit, kulit dan daging ayam mula berdesir. Sutharat berkata, ciptaannya boleh menghasilkan sehingga 312 darjah celcius. Oleh itu, dia sering memakai topeng pengimpal semasa mengendalikannya. Pemanggang solar Sutharat yang merupakan perkara yang luar biasa, telah menarik minat beberapa pelanggan yang tertanya-tanya dengan rasa ayam tersebut. Dia telah menggunakan teknik ini selama dua dekad dan memberitahu ianya lebih bagus dari teknik memanggang tradisional. Teknik yang hampir percuma ini, memasak ayam dengan sempurna dan 100% bersih. Universiti Phetchaburi Rajabhat mengiktiraf idea bernas Sutharat dan menganugerahkannya ijazah sains kehormat.