SEORANG pekebun halia mengalami selaran matahari (sunburn) yang teruk selepas bekerja di bawah gelombang haba yang kuat. Greg Binnie dari Edinburgh, bekerja memotong rumput dan menyiram pokok pada Sabtu dan Ahad seperti kebiasaan. Dia pergi bekerja tanpa menggunakan krim pelindung matahari kerana menyangka darjah kepanasan matahari di Dumfries tidak begitu kuat. Gambar yang dikongsi menunjukkan bahu dan lehernya terkena selaran matahari dengan kebakaran tahap dua. Greg, 20, tidak menyedari kerosakan kulitnya sehingga malam Ahad apabila bahunya mula melecur. Pekebun berkulit cerah itu bekerja lebih masa untuk menggantikan cuti seseorang di Ibiza pada musim panas dan akhirnya menghabiskan masa di atas katil dan kerjanya tertangguh sehingga 22 Jun. Dia berkata, “Saya sedar cuaca pada hari itu terlebih panas tetapi saya tidak kisah dan meneruskan kerja. “Selepas pulang dari kerja pada malam Ahad, ia mula melecur teruk. “Kawasan yang paling teruk terbakar adalah leher dan bahu, kulit saya sangat cerah menyebabkan saya agak sensitif pada cahaya matahari. “Ibu bapa saya sangat terkejut kerana mereka tidak menjangka ia boleh menjadi seteruk ini dan banyak membantu saya semasa terlantar di katil. “Saya pergi ke farmasi dan dinasihatkan menggunakan krim dan penyembur pelindung kulit, walaupun saya telah mula merawat dengan yogurt asli, seperti yang dicadangkan pengguna di Internet dan saya sudah nampak perbezaannya. “Ia sangat menyakitkan terutama ketika mahu menggerakkan tangan dan semasa baring. Saya cuba untuk tidur meniarap tetapi masih tidak berjaya. “Nasihat saya pada semua orang adalah jangan terlalu naif. Saya baru pulang dari Australia selama sebulan dan saya menggunakan krim pelindung matahari setiap hari. “Disebabkan saya sekarang di Scotland, saya tidak perlu risau kerana cuaca di sini tidak terlalu panas. “Saya akan lebih berhati-hati kerana selaran matahari yang pernah saya alami sebelum ini tidak seteruk itu. Saya belajar dari kesilapan.” - metro.co.uk