BERLIN/LONDON: Kristiane Backer menikmati zaman kemuncak ketika meniti usia 20-an. Beliau mengecapi impian sebagai penyampai MTV Europe, berlaga bahu dengan bintang terkemuka seperti Mick Jagger dan Bono dan mendapat bayaran untuk melakukan pekerjaan itu. Secara luarannya, kehidupan tersebut merupakan kehidupan idamannya, namun Kristiane turut mengalami kemurungan yang tidak mampu ditanggung olehnya. Kemudian, beliau bertemu dengan Imran Khan yang juga seorang pemain kriket terkenal dari Pakistan yang memimpinnya ke arah Islam dan memberikan ketenangan kepadanya. "Imran menjadi pengenalan saya kepada Islam. Saya lebih suka sifatkan bahawa saya tidak mencari (agama), tapi saya telah dijumpai," katanya. Sebagai warganegara Jerman yang dibesarkan di Hamburg, Kristiane sentiasa teruja dengan hal berkaitan kesenian. Jadi, apabila dia mendengar qawwali ketika dalam perjalanan ke Pakistan untuk melawat Imran, beliau terkesima dengan keindahannya. Qawwali adalah sejenis muzik yang berkait dengan Sufi Islam. Imej terkini Kristiane. - Sugar Street Review Selain itu, Kristiane berkata bahawa beliau amat tersentuh dengan nilai kemanusiaan orang Pakistan, layanan dan kemesraan mereka. Semua orang yang ditemukan Kristiane tanpa mengira situasi kewangan mereka, menghulurkan derma secara sukarela untuk projek amal Imran berkaitan hospital kanser di Lahore. Kristiane akhirnya memeluk Islam tiga tahun kemudian dan membuat penyelidikan mengenai agama suci itu. "Saya baca banyak buku dan apa yang saya temukan amat menakjubkan. "Ia seperti alam yang baru. Saya rasa tertarik selepas membaca buku pertama dan saya mahu tahu lebih banyak. "Saya sedar hanya ada satu Tuhan dan kita semua bertanggungjawab ke atas semua perbuatan sendiri, bayi dilahirkan suci dan bukannya sebagai pendosa. "Saya juga belajar bagaimana ayat dari al-Quran boleh membantu kehidupan harian saya," jelasnya yang kini sudah berusia 51 tahun. - Huffington Post