BAHAWALPUR: Perdana Menteri Pakistan memendekkan lawatannya ke luar negara untuk meninjau situasi mangsa kejadian kebakaran tangki minyak apabila angka kematian kini meningkat kepada 157. Tangki yang membawa 25,000 liters minyak itu dalam perjalanan dari bandar pelabuhan di selatan Karachi untuk ke Lahore apabila pemandunya hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan itu berlaku di lebuh raya Bahawalpur pada awal pagi Ahad. Sebahagian besar adalah jemaah di masjid berhampiran yang bergegas ke lokasi lori tangki terbalik bagi mengumpul minyak yang tumpah sebelum ia ia meletup. Insiden berlaku ketika umat Islam di Pakistan bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri. Anggota polis, Abdul Malik, terkejut dengan apa yang dilihatnya. "Semua mangsa terperangkap dalam api yang marak dan menjerit meminta bantuan. Kami melihat mayat bergelimpangan sebaik api berjaya dipadamkan. "Kebanyakannya hanya tinggal rangka. Mereka yang masih hidup berada dalam keadaan yang menyedihkan," katanya yang menjadi antara bantuan terawal di lokasi kejadian. Stesen televisyen tempatan turut memaparkan video asap hitam tebal manakala helikopter tentera dirakam membawa penduduk kampung yang cedera mendapatkan rawatan. Sementara itu, pegawai kanan penyelamat di lokasi insiden, Dr Mohammad Baqar, berkata identiti kebanyakan mangsa yang maut sukar dikenali akibat teruk terbakar. Berikutan itu, katanya, identiti semua mangsa akan disahkan menerusi ujian DNA. Lori tangki terbabit dilaporkan dalam perjalanan ke Lahore dari Karachi, sebelum pemandunya gagal mengawal kenderaan, lalu terbabas di sebuah lebuh raya di Bahawalpur. "Penduduk yang dimaklumkan mengenai tumpahan minyak dari sebuah lori tangki menerusi pembesar suara di sebuah masjid bergegas ke lokasi insiden bersama bekas minyak," kata Timbalan Komisioner Bahawalpur, Rana Mohammad Salim. - AP