SEORANG pastor Kristian menyelar permainan popular fidget spinner yang disifatkan sebagai 'pengaruh syaitan' yang memaksa kanak-kanak membuat simbol syaitan ketika bermain dengan alat permainan itu. Pemimpin agama tersebut, Juan Mariano Avalos berkata, alat permainan tersebut secara tidak langsung membuatkan si pemain memuja syaitan. Beliau mengeluarkan satu video kontroversi yang menjelaskan teorinya bahawa permainan tersebut merupakan alat kegelapan dan kanak-kanak perlu mengelak daripada terus bermain dengan peralatan tersebut. Fidget spinner, permainan yang dicipta untuk mereka yang menghadapi masalah gementar dan tekanan, menjadi popular di seluruh dunia. Pastor daripada Paraguay itu bagaimanapun menunjukkan makna yang tersirat daripada pemainan tersebut. Namun amaran pastor itu ternyata tidak diendahkan dan diejek oleh pengguna media sosial. "Pastor, emoji (simbol tangan) tanda bersetuju juga ada unsur-unsur syaitan," kata seorang pengguna bernama Fernando Fleitas. - MIRROR