suria

Guna Tentera Jika Perlu - AS

PERARAKAN tentera Korea Utara di Pyongyang pada awal tahun ini. - AGENSI

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran keras kepada Korea Utara bahawa tindakan ketenteraan akan digunakan sekiranya perlu memandangkan provokasi yang semakin meningkat ditunjukkan oleh Pyongyang.

Amaran itu dikeluarkan pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan ujian peluru berpandu antara benua (ICBM) yang dilaksanakan oleh republik itu pada Selasa.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, tindakan Korea Utara itu secara langsung menutup peluang untuk menyelesaikan krisis secara diplomatik.

"Satu daripada keupayaan (penyelesaian) kami adalah menggunakan kekuatan tentera.

"AS akan menggunakannya (kekuatan tentera) jika perlu tetapi kami tidak lebih gemar tidak memilih jalan tersebut," katanya.

Sementara itu, Haley berkata, AS akan mengemukakan usul sekatan PBB baharu ke atas Korea Utara dalam tempoh beberapa hari lagi.

Selain itu kata beliau, Washington juga akan memutuskan hubungan perdagangan dengan negara yang berurusan dengan Pyongyang susulan pelanggaran resolusi PBB.

Beliau memberi amaran bahawa jika Rusia dan China tidak menyokong usaha tersebut, AS sedia berjuang dengan cara tersendiri. -  THE TELEGRAPH


Korea Utara

Artikel Lain