TOKYO: Ratusan ribu penduduk terperangkap dalam bencana banjir besar yang melanda selatan Jepun, susulan hujan lebat berterusan mengakibatkan air melimpah dan merosakkan jalan raya. Setakat ini, sekurang-kurangnya dua terkorban, manakala lebih 10 dikhuatiri hilang akibat dihanyutkan arus deras. Pakar kaji cuaca memberi amaran keadaan akan bertambah buruk dan anggota tentera serta penyelamat berusaha memindahkan ratusan ribu penduduk dari laluan tanah runtuh dan arus air berlumpur. "Kami melihat hujan lebat tidak seperti sebelum ini. Keadaan ini luar biasa dengan bahaya serius," kata pegawai Agensi Kaji Cuaca Jepun. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata, kerajaan mengarahkan 7,500 anggota polis, penyelamat dan anggota tentera ke kawasan terjejas di Kyushu, manakala 40 helikopter bersiap sedia melakukan operasi mencari sebaik cuaca cerah. "Ada banyak maklumat mengenai orang ramai yang masih hilang," katanya kepada sidang akhbar tergempar. Ia termasuk seorang kanak-kanak yang dilaporkan dihanyutkan di sungai dan pasangan suami isteri yang tidak ditemui sejak rumah mereka dihanyutkan. Pegawai di negeri Fukuoka dan Oita yang teruk terjejas berkata, mereka mengetahui 15 penduduk hilang. Rakaman televisyen menunjukkan ombak dari sungai yang melimpah merempuh kawasan berpenduduk, merosakkan jalan dan menenggelami ladang. - AFP