suria

Percutian Usahawan Australia Bertukar Tragedi

SEORANG ahli perniagaan terkenal Australia maut ketika sedang melakukan aktiviti sukan ekstrem parasailing di Thailand.

Detik cemas itu berjaya dirakamkan isterinya.

Roger John Hussey mengukir senyum kepada isterinya yang merakamkan aksinya di Pantai Kata, Phuket sebelum melakukan aktiviti itu pada Rabu.

Namun sebaik sahaja Hussey ditarik ke udara, usahawan berusia 70 tahun itu terjatuh dari ketinggian 100 kaki.

Pasukan kecemasan menghantar Hussey ke Hospital Patong tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Usahawan yang berpangkalan di Perth itu dan isterinya yang juga warga Thailand, Budsabong Thongsangka sedang bercuti selama 12 hari di pulau tersebut.

Hussey merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah pelbagai syarikat awam, kerajaan dan NFP.

Pada 1993, dia dilantik sebagai pengerusi persatuan perjudian terbesar di Australia, TAB.

Dia juga pernah berkhidmat untuk syarikat minyak dan gas antarabangsa, Shell.

Susulan insiden itu, pengendali bot dan kakitangan aktiviti parasailing itu ditahan dan didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

Timbalan Ketua Balai Polis Karon, Leftenan Kolonel Suwisit Keereerak berkata mereka sedang menyiasat punca insiden itu.

Ia bukan insiden baharu di pantai itu kerana pelancong Australia sebelum ini pernah meninggal dunia ketika melakukan aktiviti air.

Emily Jayne Collie dilaporkan tidak sedarkan diri selepas jet ski yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi jet ski pada awal Februari lalu.

parasailing, Pantai Kata

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain