suria

China Haram Watak Kartun Winnie The Pooh

BEIJING: Kerajaan China mengharamkan penggunaan gambar kartun beruang popular, Winnie the Pooh terutamanya dalam laman sosial kerana watak animasi itu digunakan sebagai bahan untuk menghina pemimpin tertinggi negara ini.

Pihak berkuasa memadamkan sebarang komen yang mempunyai kaitan kartun Little Bear Winnie atau dikenali sebagai Pooh dalam bahasa Cina, dan watak kartun itu digantikan dengan mesej tegas berbunyi, 'Isi kandungan di halaman ini adalah tidak sah'.

Penggunaan stiker dan gambar dalam bentuk ‘GIF’ Winnie the Pooh juga telah dipadam dari aplikasi WeChat- sebuah aplikasi mesej yang digunakan oleh 889 juta orang di China.

Bagaimanapun beberapa gambar karakter ciptaan AA Milne itu yang menggunakan nama Inggerisnya, masih dibenarkan di aplikasi mesej popular di China, Weibo.

Tiada sebarang penjelasan yang diberikan oleh pihak berkuasa berkenaan pengharaman itu, tetapi karakter beruang itu yang dikatakan 'berotak kecil' pernah disamakan dengan Presiden China, Xi Jinping dan tindakan keras itu diambil sebelum Kongres Parti Komunis China ke-19 diadakan.

Pengguna media sosial China telah meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengharaman itu.

“Kasihan Winnie,” seorang pengguna Weibo menulis. “Apa yang telah beruang comel itu lakukan sehingga membangkitkan kemarahan mereka (kerajaan)?”

Pada 2013, pengharaman yang sama telah dilaksanakan kerana gambar Presiden Xi dan bekas Presiden AS, Barack Obama yang disamakan dengan Pooh dan rakannya, Tigger.

Tahun berikutnya, gambar Presiden Xi dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berjabat tangan, juga telah disamakan dengan gambar Winnie dan Eeyore bersalaman. - Mirror.uk

Winnie The Pooh, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain