LELAKI di India ini berjaya membuktikan kecacatan bukan penghalang untuk menjadi seorang tukang jahit. Madan Lal, 45, dari Harvana yang dilahirkan kudung kedua-dua belah tangan cuba menjalani kehidupan sehariannya dengan menggunakan kaki. Kaki 'berbakat' itu kini mampu menghasilkan pakaian yang cantik. "Ia banyak berjasa kepada saya. Segala proses termasuk mengukur pakaian dan menjahit adalah dengan kaki. Kekurangan ini tak pernah jadi beban kepada keluarga saya ketika zaman kanak-kanak dahulu. Segala proses termasuk mengukur tubuh pelanggan dilakukan sendiri oleh Lal. "Tetapi, pandangan negatif masyarakat terhadap kecacatan ini buatkan saya tidak dapat bersekolah. "Mulanya saya agak kecewa, namun saya tetap tanam cita-cita untuk capai kejayaan pada suatu hari nanti," katanya. Pada usia 23 tahun, Lal memutuskan untuk menceburi bidang jahitan, namun dia mendapati sukar untuk mendapatkan latihan. Jelasnya, banyak tempat telah dikunjungi demi mendapatkan ilmu jahitan dan bertemu tukang jahit, namun mereka hanya mentertawakannya. Segala proses termasuk mengukur tubuh pelanggan dilakukan sendiri oleh Lal. "Mereka memberi pandangan sinis dengan menyatakan sukar untuk menjahit baju tanpa tangan. Jadi, mereka hantar saya pulang ke kampung," ujarnya. Lal yang berjiwa cekal memutuskan untuk ke Fatehabad dan meneruskan usaha untuk mencari tukang jahit yang dapat melatihnya. "Mulanya tukang jahit itu juga ragu-ragu selepas melihat kekurangan saya. Tapi, saya tidak berputus asa dan minta diberi peluang. "Dalam tempoh 10 hingga 15 hari ketika proses belajar menjahit itu, 'guru' tersebut dengan yakin berkata saya akan berjaya pada satu hari nanti," katanya lagi. Dalam tempoh setahun, Lal telah belajar seni menjahit dan berjaya membuka kedai di kampungnya. Kedai jahit milik Lal kini menjadi tumpuan penduduk setempat. Hidupnya tiba-tiba berubah dan ia menjadi detik paling bermakna. Bagaimanapun, masih ada segelintir pelanggan yang tidak percaya akan kemampuannya. Lelaki berjiwa cekal ini menunjukkan pakaian yang dihasilkannya. "Secara perlahan-lahan, saya meraih kepercayaan mereka. Sejak itu, ramai pelanggan mula menempah pakaian di kedai saya. Mereka terus menyokong saya," katanya lagi. Bakat Lal kini berjaya mengetepikan persepsi masyarakat terutama di kampungnya, malah mereka melihat dia sebagai hero. - Daily Mail