PATTANI: Dua orang ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali dalam kejadian keganasan berasingan di Yarang dan Saiburi di wilayah bergolak Pattani, selatan Thailand. Dua lagi mengalami kecederaan dalam kejadian yang berlaku pada 7.30 pagi dan 9.30 pagi waktu tempatan itu. "Polis masih menyiasat motif kedua-dua kejadian serta mereka yang bertanggungjawab," kata Ketua Polis Pattani Mej Jen Piyawat Chalermsi kepada pemberita, Ahad. Beliau berkata kejadian pertama berlaku di sebuah kedai kopi di Kampung Tabing, Saiburi apabila seorang sukarelawan keselamatan tempatan dikenali sebagai Matnor Mahama, 50, ditembak mati ketika sedang bersarapan. Menurut Piyawat, mangsa didatangi seorang lelaki ketika bersarapan yang bertindak menembak bahagian kepalanya sebelum melarikan diri. "Mangsa mati di tempat kejadian," katanya dan menambah seorang pelanggan kedai kopi dikenali sebagai Mahamaripeng Latih, 47 cedera akibat terkena peluru sesat dan kini menerima rawatan di hospital berdekatan. Dalam kejadian kedua di Kampung Prajan, Yarang, seorang penjual tilam dikenali sebagai Paiboon Kampeang, 32, mati akibat ditembak ketika sedang memandu kereta pikapnya bersama ibunya Wandee Kampeang, 58. Ibunya terselamat tetapi mengalami kecederaan akibat kesan tembakan, kata Penolong ketua bahagian siasatan Polis Yarang Kapten Pichit Nusong. "Mangsa berasal dari Sukhotai di utara Thailand dan berada di Pattani untuk menjual tilam di selatan Thailand," katanya dan menambah, mangsa ditembak mati menggunakan pistol 9mm.-- Bernama