PELANCONG Britain terpaksa tidur berbumbungkan langit selepas dua kali berdepan detik cemas kejadian gempa bumi di kepulauan Kos, Greek. Dua insiden yang masing-masing berlaku pada Jumaat dan terkini pada jam 6 petang Sabtu itu berlarutan hingga 10 saat menyebabkan hotel di kawasan itu bergegar. Gegaran kedua berukuran 6.7 magnitud itu berlaku ketika kebanyakan pelancong di pelabuhan Kos yang sedang menikmati hidangan di restoran dan kawasan terbuka. Ramai yang keluar dari hotel dan berkumpul di jalan raya untuk menunggu arahan pihak berkuasa di destinasi percutian itu. Dalam kejadian pertama, dua pelancong lelaki dari Sweden dan Turki terkorban apabila siling sebuah pub runtuh. Selain itu, ombak umpama kesan tsunami juga kelihatan sepanjang pantai berhampiran hotel di sekitar perairian Aegean, Bodrum dan Marmaris. Pihak berkuasa Kos menganggarkan lebih 8,000 pelancong warga Britain berada di situ. Sementara itu, di lapangan terbang Kos pula pelancong berkumpul untuk meninggalkan destinasi itu secepat mungkin, bagaimanapun tidak semua yang hadir dibenarkan memasuki bangunan berkenaan kerana bimbang berlaku gegaran susulan. Bencana itu juga menyebabkan lebih 50 penerbangan tergendala dalam dua hari.