suria

Tembak Pengedar Dadah Jika Melawan - Jokowi

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo menegaskan bahawa pihak polis sepatutnya diberi 'lampu hijau' untuk menembak pengedar dadah yang cuba melawan ketika ditahan.

Jurucakap Presiden, Johan Budi berkata, Joko atau juga dikenali sebagai Jokowi menyatakan komen itu pada pertemuan dengan sebuah parti politik baru-baru ini.

"Kita perlu mengambil tindakan tegas. Jika pengedar dadah yang beroperasi di Indonesia melawan ketika ditahan, pegawai polis boleh menembak mereka kerana masalah narkotik di negara ini semakin meruncing," kata Jokowi menurut jurucakap beliau.

Bagaimanapun Budi berkata, kenyataan Jokowi itu tidak bermaksud anggota polis melepaskan tembakan untuk membunuh suspek.

"Tindakan polis perlu sejajar dengan undang-undang.

"Mesej Presiden ditujukan kepada seluruh rakyat Indonesia bagi menunjukkan komitmen kerajaan memerangi narkotik," katanya.

Laporan media tempatan pada minggu lalu menyebut, seorang anggota polis menembak mati lelaki Taiwan kerana melawan ketika ditahan.

Suspek ditahan bersama satu tan dadah jenis syabu, rampasan terbesar dalam sejarah Indonesia.

Kenyataan Jokowi itu memberi bayangan bahawa Indonesia akan mengikut jejak langkah Filipina apabila Presiden Rodrigo Duterte melancarkan kempen memerangi dadah menggunakan kekerasan sehingga menyaksikan ramai suspek dibunuh.

Indonesia memiliki undang-undang anti dadah yang ketat dan hukuman mati menanti pesalah kes jenayah tersebut.


Indonesia, Jokowi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain