suria

Adik-Beradik Sakit Mental Terjun Pangsapuri

BANDUNG: Dua adik-beradik telah bertindak membunuh diri dengan terjun dari tingkat lima pangsapuri Gateway Apartment di Bandung, Jawa Barat, petang Isnin.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, dua adik perempuan itu terjun dari apartmen selepas memanjat balkoni.

Si kakak yang berusia 34 tahun melompat terlebih dahulu diikuti adiknya yang berusia 28 tahun beberapa saat kemudian.

Kejadian itu sempat dirakamkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian menggunakan telefon bimbit mereka.

Semasa siasatan polis, abang kepada kedua-dua mangsa berkata dua adik perempuannya itu mengalami gangguan psikologi selama lapan tahun.

Mereka pernah dirawat di klinik kesihatan mental Yayasan Penuai Indonesia, Bogor.

"Mereka mengalami masalah kesihatan mental sejak tahun 2006, apabila ibu mereka meninggal dunia," kata Ketua Polis Bandung Sr.Comr. Hendro Pandowo, memetik abang mangsa.

Saksi yang dikenal pasti sebagai Dewi berkata dia telah melihat dua adik-beradik perempuan itu sebelum mereka terjun.

Dewi, yang menjalankan perkhidmatan dobi di sebuah kios berhampiran apartmen berkata kedua-dua wanita itu kelihatan tidak tentu arah sebelum mereka terjun.

Hendro berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kaki. Lengan mereka patah.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sartika Asih untuk autopsi," kata Hendro. - The Jakarta Post/Asia News Network

bunuh diri, sakit mental

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain