SEORANG wanita berusia 50 tahun dari Manaus, Brazil, meraih perhatian dalam kalangan pengguna Internet apabila aksinya memperagakan kostum dari karakter kartun popular di majlis kostum animasi mengagumkan ramai pihak. Lebih menarik lagi, Solange Amorim menampilkan aksi beraninya itu di majlis yang dihadiri oleh golongan muda Amorim, yang dikenali sebagai Tia Sol di media sosial, menceburi bidang itu ketika menemani anaknya, Jessica ke majlis pakaian kostum. Sejak itu, dia mula jatuh cinta dengan bidang tersebut apatah lagi apabila dicabar oleh rakannya mencabarnya untuk memperagakan pakaian karakter kartun. “Seorang rakan mencabar saya sama ada berani untuk memperagakan kostum watak kartun. “Saya menyahut cabaran itu, tetapi dia tidak mempercayai saya. Saya menang pertaruhan dan dia terpaksa membayar tukang jahit untuk saya,” ujarnya. Kostum pertama diperagakan olehnya adalah watak nenek dari kartun Looney Toons. Aksinya itu sangat menakjubkan dan dia berjaya memenangi tempat pertama. Ternyata usia setengah abad tidak menghalangnya untuk meneruskan minatnya apabila Amorim juga memperagakan pakaian karakter lain seperti nenek, bidadari, dan ahli sihir. “Saya tidak berasa tua tetapi berasa seperti orang muda. “Saya boleh buat apa sahaja yang saya minat," tambahnya. Walaupun Tia Sol tidak mampu untuk pergi ke majlis kostum yang jauh kerana kos yang tinggi, dia masih tidak berputus asa dan menggunakan alternatif sedia ada iaitu media sosial. Wanita tersebut memuat naik pelbagai gambar pakaian beragam di Facebook dan Instagram, dan mempunyai ratusan pengikut. “Saya tidak menyangka saya diterima dengan baik dalam kalangan orang muda dan saya mempunyai ramai rakan yang mengikuti perkembangan saya,” kata Amorim. Amorim mempunyai pesanan pada semua golongan seusianya. “Nikmati hidup anda! Jangan malu dan jangan takut dengan kritikan. Jiwa kita tidak tua, kita semua masih muda. Anda masih tidak terlambat untuk bergembira. “Kita tidak tahu bila kita meninggakan dunia ini. "Oleh itu, nikmati kehidupan sepenuhnya. Apabila tiba masanya, saya boleh berkata dengan gembira bahawa saya sudah penuhi segala impian saya," katanya.