ADOBE Systems Flash atau lebih dikenali sebagai Flash, akan 'bersara' pada hujung tahun 2020 selepas sekian lama 'berkhidmat' dalam program perisian komputer. Perkara itu diumumkan oleh syarikat Adobe yang bekerjasama dengan Apple Inc, Microsoft Corp, Alphabet Inc (Google), Facebook Inc dan Mozilla Corp selepas penggunaan program itu akan dikurangkan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang. Flash merupakan program yang terkenal kerana menjana kebanyakan kandungan media dalam Internet. Selepas 2020, Adobe akan berhenti mengeluarkan kemaskini untuk Flash dan pelayar web tidak lagi boleh menyokong program tersebut. Ekoran itu, syarikat Adobe menggalakkan perisian yang dibangunkan oleh pengeluar program agar memindahkan perisian mereka ke program yang lebih moden. “Beberapa teknologi telah memberi impak mendalam dan positif ketika zaman Internet,” kata Govind Balakrishnan, timbalan presiden penghasilan produk Adobe Creative Cloud. Flash yang dicipta lebih dari 20 tahun lalu, dahulunya adalah perisian yang banyak digunakan oleh pengeluar untuk mencipta permainan digital, permainan video dan aplikasi yang boleh digunakan untuk membuka beberapa pelayar web. Tetapi popularitinya menurun apabila Apple membuat keputusan untuk tidak menggunakan Flash di dalam produk telefon pintar, iPhone. Malah pada 2010, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs mengkritik secara terbuka sistem, tahap keselamatan dan prestasi Flash 2010. Sejak itu, teknologi lain seperti HTML5 muncul sebagai alternatif lain untuk Flash. Pada tahun yang lepas, beberapa pelayar web mula meminta pengguna untuk mengakses Flash sebelum melayarinya. Pelayar web Google Chrome juga menunjukkan bahawa penggunaan Flash menurun secara drastik. Pada 2014, Flash digunakan setiap hari oleh 80 peratus pengguna komputer. "Peratusan itu semakin berkurangan dan sekarang adalah 17 peratus," kata syarikat pada Selasa lepas. - Mail Online