LIMA dikhuatiri lemas apabila bot laju yang digunakan sekumpulan pelancong mengikuti aktiviti bersnorkel atau menyelam di permukaan air karam akibat ribut di perairan wilayah Chumphon pada lewat malam Rabu. Mayat semua mangsa ditemui terperangkap dalam bot berkenaan apabila pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 11.30 malam. Mangsa dikenali sebagai Siwakrit Sarawit, Thichaya Methamongkol, Jandara Thapchan, Thapanee Worawatanakul dan Sumasana Suthanurak. Difahamkan, Siwakrit adalah jurulatih menyelam yang turut serta bagi membantu pelancong terlibat. Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 9 malam. Bot yang didaftarkan dengan nama Chok Thara 2 karam berhampiran Koh Kalok, kira-kira 16 kilometer dari pantai. Ia membawa tiga kru dan 13 penumpang warga Thai. "Bot itu berlegar di sekitar Koh Ngam-Koh Kalok di Teluk Chumphon apabila dibadai ribut. Ketika kejadian, kapten bot itu cuba mengemudinya ke pulau berhampiran bagaimanapun gagal," kata Gabenor Chumphon, Narong Polla-iad. Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menyelamatkan 11 mangsa, sebelum menemui baki lima lagi. Mangsa didapati tidak memakai jaket keselamatan sepanjang berada dalam bot berkenaan. Malahan, kapten bot juga dikatakan gagal mematuhi arahan untuk tidak ke laut dalam susulan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.