SEBUAH lapangan terbang yang menelan kos perbelanjaan £285 juta (RM1.6billion), dikenali sebagai lapangan terbang 'paling tidak berguna', akhirnya bakal menerima jadual penerbangan yang pertama. Bagaimanapun tiada siapa tahu tentang tarikh, masa atau kos penerbangan yang dijadualkan itu. Lapangan Terbang St Helena yang dibiayai menerusi cukai rakyat Britain, dibina untuk memberi kemudahan pada komuniti terpencil di selatan Atlantik. Walaupun diberi amaran mengenai keadaan cuaca yang tidak menentu, pembinaan landasan itu tetap diteruskan dengna kemudahan menampung pendaratan pesawat jenis Boeing 737 dan Airbus A320. Selepas beberapa kali tertangguh, jadual penerbangan pertama iaitu British Airways dari Johannesburg di Selatan Afrika, yang membawa kira-kira 170 penumpang sepatutnya 'merasmikan' lapangan terbang tersebut pada Mei 2016. Namun sebelum pesawat itu berlepas, ujian penerbangan mendapati tiupan angin terlalu kuat dan perancangan tersebut terpaksa dibatalkan. Sejak itu, lapangan terbang itu digunakan untuk beberapa penerbangan rawatan kecemasan. Pada Mei lalu, satu ujian penerbangan penumpang dikendalikan dengan jayanya. Kini kerajaan mengumumkan sebuah pesawat penumpang dari Afrika Selatan, Airlink, akan berlepas dari Johannesburg menerusi Windhoek di Namibia ke St Helena setiap Sabtu. Namun, tarikh penerbangan pertama Airlink masih belum diketahui, begitu juga kos yang dikenakan. Buat masa ini, kerajaan Britain menanggung kos subsidi sebanyak £1.9 juta (RM10.7 juta) bagi tahun pertama operasi lapangan terbang terbabit. - The Independent