PAMERAN pelancongan yang menawarkan tiket kereta api pada harga diskaun bertukar kecoh apabila ribuan penduduk yang hadir tidak dibenarkan masuk ke Pusat Persidangan Jakarta di mana acara itu diadakan. Program yang pertama kali diadakan pengendali perkhidmatan itu, Kereta Api Indonesia (KAI) berlangsung dua hari, iaitu 29 dan 30 Julai. Ia menawarkan potongan sehingga 75 peratus untuk tiket bagi kelas eksekutif. Acara yang pada mulanya berjalan lancar bagaimanapun bertukar huru hara apabila ribuan pengunjung cuba berasak-asak masuk di laluan berasingan berikutan kesesakan melampau di pintu masuk utama. Sebaik laluan tambahan itu dibuka, pengunjung terus menyerbu masuk hingga mengakibatkan ada di antara mereka, kebanyakannya wanita menjerit akibat dirempuh hingga terjatuh. "Buka pintu!" demikian jerit pengunjung sambil bertindak mengetuk pintu berkenaan. Pengawal keselamatan terpaksa bekerja keras untuk memastikan situasi terkawal.