KAKITANGAN kerajaan yang bertugas di bangunan usang di Bihar, India, terpaksa memakai topi keledar sepanjang waktu pejabat kerana risau berlaku kejadian siling runtuh. Satu rakaman video menunjukkan empat pekerja memakai topi keledar sedang bekerja, dan tular di laman sosial negara itu baru-baru ini. Ia juga menunjukkan suasana bekerja yang serba kekurangan di India. Susulan itu, rakaman berkenaan disiasat dan mendapati bangunan di Areraj, daerah Champaran itu, telah diumumkan sebagai tempat berbahaya oleh inspektor keselamatan sejak dua tahun lalu, namun, tiada sebarang tindakan diambil. “Jabatan pembinaan bangunan mengumumkan bangunan itu tidak boleh digunakan lagi. Tetapi, pihak berkuasa tidak menemui alternatif lain untuk memindahkan pejabat. “Keadaan menjadi semakin teruk apabila hujan kerana seluruh bangunan bocor, menyebabkan peralatan dan rekod pekerjaan menjadi tidak selamat. Hal itu telah diadukan secara bertulis kepada pegawai kanan, tetapi keadaan masih sama,” kata salah seorang pekerja, Amit Kumar Pandey. Beberapa bahagian bumbung sudah beberapa kali jatuh di kepala pekerja, dan kini keadaannya semakin teruk hinggakan ia boleh runtuh pada bila-bila masa. “Bangunan ini agak lama dan disebabkan kami perlu hadir ke pejabat, kami memutuskan untuk memakai topi keledar. Ramai pekerja cedera kerana beberapa bahagian bumbung jatuh dari siling,” kata salah seorang pekerja, Parvez Ahmad. Selepas video itu tular, pihak kerajaan memutuskan untuk memindahkan pejabat itu secepat mungkin dan pada masa yang sama, mengenakan notis tunjuk sebab terhadap empat pekerja di dalam video kerana menghebahkan masalah itu, bukannya cuba menyelesaikannya dengan pihak berwajib. “Pemindahan akan dijalankan segera, sebaik menerima laporan dari bahagian pembangunan, tetapi proses itu ditangguh. Kami sudah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pihak yang terlibat kerana menangguhkan urusan tersebut,” kata seorang pegawai kanan.