WASHINGTON: Pyongyang berdepan “api dan kekerasan”, demikian amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kepada Korea Utara berhubung program peluru berpandu negara itu. Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas media AS melaporkan bahawa Pyongyang berjaya mengecilkan saiz peledak nuklear untuk dimuatkan ke dalam peluru berpandu balistiknya. “Jangan lakukan apa-apa ancaman lagi terhadap AS. Ia akan ditangani dengan api dan kekerasan yang tidak pernah dilihat dunia ini,” kata Trump ketika bercakap di kelab golf miliknya di New Jersey. Trump mengeluarkan amaran itu sejurus selepas akhbar The Washington Post memetik Agensi Perisikan Pertahanan sebagai berkata, pegawainya percaya Korea Utara memiliki bom nuklear yang boleh dipasang pada peluru berpandu balistik termasuk misil antara benua. Beliau turut berkata, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membuat ancaman yang amat serius. “Seperti saya katakan, mereka akan berdepan dengan api, kekerasan dan kuasa tentera,” katanya kepada wartawan. – AFP