suria

Duterte Tawar Habuan Polis Hidup Atau Mati

MANILA: Dua juta peso (RM170,000) diumum sebagai hadiah antara hidup atau mati bagi setiap nyawa anggota polis yang disyaki membantu ahli politik terlibat dengan kegiatan dadah.

Demikian pengumuman yang dibuat Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

"Saya lebih suka mereka (anggota polis) dibunuh", kata Duterte.

Gesaan kepada polis supaya membunuh rakan mereka adalah kenyataan terbaru Duterte dalam kempen yang disifatkan penuh kontroversi untuk memerangi dadah.

Dia mengumumkan tawaran itu tidak lama selepas berunding dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson.

Berucap di ibu pejabat polis, Duterte menawarkan hadiah berkenaan untuk nyawa beberapa anggota polis yang didakwa membantu seorang datuk bandar yang terbunuh dalam operasi antidadah pada 30 Julai lalu.

“Ada hadiah bagi setiap nyawa anggota polis itu. Saya menawarkan dua juta peso bagi setiap nyawa mereka dan anda boleh bercuti untuk memburu mereka.

“Saya tidak mahu bercakap panjang supaya anda dapat memburu ‘penyangak’ berkenaan,” katanya kepada anggota polis yang hadir di majlis itu.

Dia mendakwa anggota polis berkenaan bekerjasama dengan Reynaldo Parojinog, Datuk Bandar Ozamiz yang mati dalam serbuan antidadah bersama isteri, adiknya dan 13 yang lain.

Sejak menjadi presiden pertengahan tahun lalu, polis mengesahkan membunuh lebih 3,400 orang dalam operasi antidadah.

Lebih 2,000 ditembak mati dalam jenayah yang ada kaitan dengan dadah dan ribuan dibunuh tanpa sebab yang jelas, menurut data polis.- Reuters

Duterte, Parojinog

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amaran Trump Kepada Pyongyang

Artikel Lain