MALANG memang tidak berbau. Itu yang menimpa pemandu kereta di Oregon, Amerika Syarikat apabila kenderaannya seolah-olah mencair selepas ditimpa belut. Keadaan itu berpunca daripada sebuah trak yang terbalik di lebuh raya Oregon lalu menumpahkan sebanyak 3.4 tan belut ke atas jalan raya. Belut-belut itu menghasilkan cecair selut apabila berada dalam keadaan terancam. Polis berkata, ketika pemandu trak menghampiri kawasan jalan yang sedang dalam pembinaan dan cuba berhenti, satu kontena 'terbang' dari trak tersebut dan meluncur ke arah bertentangan, manakala kontena lain pula tertumpah di atas jalan raya. Kontena yang terbang itu menghentam sebuah kereta sehingga mengakibatkan kereta tersebut dan empat kenderaan lain turut berlanggar. Kata polis, orang awam yang terlibat dalam kejadian itu mengalami kecederaan ringan. Jalan itu dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan siap dilakukan pada tengah hari Khamis. Menurut laporan King5, belut hidup itu akan dieksport ke Korea untuk pasaran negara tersebut.