ABRANTES: Selepas meragut sekurang-kurangnya 60 nyawa dan lebih 250 cedera di Pedrogao Grande, kebakaran hutan terus marak di seluruh Protugal akibat cuaca panas terik yang melanda negara itu. Setakat ini, lebih 2,600 anggota bomba dikerah untuk memadamkan 62 kebakaran hutan, termasuk bantuan pesawat bom air dari Maghribi dan dua lagi pesawa sama dari negara jiran, Sepanyol bagi membantu mengawal api. “Keadaan cuaca menjadikan ia sesuai untuk menyebabkan berlakunya kebakaran hutan. Cuaca panas kering ini diramal berterusan hingga esok dengan angin kuat serta dan suhu mencecah 39 darjah Celsius,” kata jurucakap agensi pertahanan awam, Patricia Gaspar pada sidang akhbar. Sebanyak 11 kebakaran hutan masih marak setakat pukul 11 malam (waku tempatan) Khamis, manakala selebihnya beransur dikawal, kata agensi pertahanan awam berkenaan di laman webnya. Seramai 800 anggota bomba dengan bantuan 250 jentera berada di lokasi kebakaran terbesar di sebuah hutan dekat bandar Abrantes, tengah Portugal. “Api merebak hingga ke pinggir bandar ini," kata Datuk Bandar Abrantes, Maria do Ceu Albuquerque. Pihak bomba pula berkata, udara kering dan angin kuat yang kerap berubah arah telah menyukarkan usaha untuk mengawal api. Satu lagi kebakaran besar dilaporkan dekat perkampungan Mealhada, utara Portugal, sekali gus memaksa lebuh raya A1 yang menghubungkan dua bandar terbesar Portugal, Lisbon dan Porto ditutup. Kebakaran berhampiran bandar Grandola, selatan Portugal pula memaksa penutupan laluan kereta api yang menghubungkan Lisbon dengan wilayah Algarve. Rantau itu merupakan antara destinasi pelancongan popular di Eropah. – AFP