BEIJING: Reka bentuk terowong Qinling yang dikatakan lebih sempit berbanding ukur lebar lebuh raya di utara China didakwa punca berlakunya kemalangan yang mengorbankan 36 nyawa, manakala 13 lagi cedera pada Khamis. Badan penyiar CCTV melaporkan, perkara itu menjadi topik hangat yang diperkatakan di kalangan netizen. Lorong kanan lebuh raya itu berakhir di dinding hadapan laluan masuk terowong itu iaitu lokasi di mana berlakunya kemalangan melibatkan bas yang membawa 49 penumpang itu. "Pada pendapat saya, punca utama disebalik kemalangan itu adalah rekaan terowong berkenaan," kata Profesor Madya Kolej Pengangkutan dan Komunikasi di Universiti Shanghai Maritime, Qian Hongbo kepada Tencent News pada Jumaat. Malahan, pensyarah terbabit juga menganggap kurangnya langkah keselamatan untuk menunjuk arah laluan kenderaan ketika masuk ke terowong itu juga adalah antara faktor yang perlu diberi perhatian serius. "Sepatutnya tanda amaran dan panduan arah perlu diletakkan supaya pemandu dapat menukar lorong ketika menghampiri laluan masuk ke terowong berkenaan," katanya. Terowong sepanjang 6.1 kilometer (km) di Ankang itu dibuka pada 2005, begitu juga dua lagi terowong sepanjang Lebuhraya Xi'an-Hanzhong yang keseluruhannya sepanjang 17km di mana kos pembinaannya mencecah AS$233 juta. Kemalangan berlaku semasa bas berkenaan dalam perjalanan dari Chengdu, wilayah Sichuan di barat daya China menuju ke bandar Luoyang, tengah negara itu. Kemalangan maut merupakan perkara biasa di China di mana peraturan lalu lintas kerap dilanggar atau tidak dikuatkuasakan oleh pihak polis. Lebih 180,000 kemalangan jalan raya dan 58,000 kematian dicatatkan di negara itu dalam tahun 2015, kata pihak berkuasa pada Disember tahun lalu. – AFP