MENCEBURI bidang perniagaan menjadi pilihan Usain Bolt sebaik mengumumkan persaraannya dalam bidang olahraya baru-baru ini. Manusia terpantas dunia ini bakal melancarkan rangkaian restoran Jamaica di Britain. Menu yang dihidangkan memberi tumpuan kepada citarasa masyarakat negara kelahirannya itu termasuk nasi dan kacang pea, daging dan ikan dimasak dalam periuk khas, selain ayam dan sup. Syarikat francais Jamaica di mana Bolt adalah rakan kongsi telah memeterai perjanjian dengan kumpulan syarikat di Middlesex untuk melancarkan 15 rangkaian restoran diseluruh Britain dalam masa lima tahun. "Saya gembira dapat berkongsi citarasa Jamaica kepada orang ramai di seluruh dunia menerusi restoran yang akan dibuka di United Kingdom," kata Bolt. Sejak mengumumkan persaraannya minggu lalu, bekas atlet berusia 30 tahun ini banyak menghabiskan masa di kelab malam bersama teman-temannya.