SESUATU yang luar biasa apabila seorang perenang sanggup mengorbankan impiannya untuk mencatatkan kemenangan dalam Kejuaraan Dunia. Pengorbanan itu dilakukan bagi memberi penghormatan buat mangsa serangan pengganas dalam insiden di Barcelona dan Cambrills, baru-baru ini. Pada awalnya, Fernando Alvarez, dari Cadiz, Sepanyol meminta penganjur Kejuaraan Dunia Masters untuk melakukan sesi memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa sselama seminit, tetapi permintaan tersebut ditolak. Ia membuatkan Alvarez terus berdiri di tempat untuk terjunan selama seminit apabila bermulanya saingan 200 meter. Alvarez (bulatan merah) terus berdiri memberi penghormatan kepada mangsa serangan pengganas tanpa mempedulikan pencabar-pencabar lain memulakan saingan. Tanpa mempedulikan pencabar-pencabar lain yang mula melakukan renangan, beliau terus terpaku memberikan penghormatan. "Mereka beritahu saya mustahil (untuk membuat sesi memberi penghormatan) kerana seminit boleh terbazir," kata Alvarez kepada media tempatan. Tambah Alvarez, beliau hanya memulakan renangan seminit selepas itu. "Tapi saya tak kisah, perasaan saya lebih bernilai daripada memenangi kesemua pingat emas di dunia." - Mail Online