suria

Bekas Teman Wanita Jadi Bos Lelaki ‘Hantu’

Mr. Ghost amat bimbang akan perkara yang bakal berlaku. - Gambar hiasan/Getty Images

BAGI mereka yang pernah putus cinta, pasti tidak mahu bertemu lagi dengan bekas pasangan atau paling teruk lagi tidak mahu langsung bertembung dengan mereka.

Namun, jika ia tidak boleh dielakkan, anda pasti mahu kelihatan segak, cantik, berjaya dan berkedudukan di depan bekas pasangan anda.

Dalam banyak-banyak tempat yang boleh membuatkan anda terserempak dengan bekas pasangan, tempat kerja adalah tempat yang paling 'menggerunkan'. Apatah lagi jika bekas kekasih bakal menjadi majikan baharu anda.

'Mimpi ngeri' itu menjadi realiti buat seorang lelaki sehingga ia memaksa dia mendapatkan nasihat apakah yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

Ia menjadi bertambah buruk kerana lelaki yang enggan dikenali itu memutuskan hubungan mereka dengan menghilangkan diri secara tiba-tiba selepas bercinta selama tiga tahun.

"Saya menjadi seorang ekspatriat selepas menamatkan pengajian dan kerap berpindah," kata lelaki itu kepada Ask A Manager.

Lelaki 'malang' itu juga menjelaskan bagaimana 10 tahun lalu (ketika masih muda), dia menjalinkan hubungan dengan wanita bernama Sylvia.

"Sylvia mahu bina hidup bersama tapi saya masih belum bersedia kerana masih muda. Kami berdua mempunyai harapan yang berbeza dalam perhubungan," katanya.

Mr. Ghost yang tidak tahu cara terbaik untuk mengakhiri hubungan itu bertindak menghilangkan diri daripada Sylvia. - Getty Images

"Saya hilangkan diri dan pindah ke negara lain ketika dia melawat keluarganya sempena cuti Krismas.

"Saya ambil kesempatan di atas peluang itu dan tidak maklumkan kepadanya kerana mahu mengelak daripada drama putus cinta.

"Sylvia menjadi begitu emosi dan obses dengan hubungan kami, dia menjejaki saya dan menyebabkan berlaku beberapa kekacauan terhadap ibu bapa dan kawan-kawan saya," katanya lagi.

10 tahun kemudian, lelaki tersebut menjadi guru matematik di sebuah sekolah antarabangsa dan sudah menjalin hubungan dengan wanita lain.

"Kami akan menerima pengarah baharu. Saya baca biodata bos baharu dan membuat carian mengenainya tetapi amat terkejut apabila mengetahui dia adalah Sylvia.

"Kami sudah lama tidak berhubung dan tidak memiliki kawan yang sama. Saya tidak meminati media sosial dan tidak tahu apa-apa mengenainya sejak situasi yang tidak menyenangkan itu berlaku," gusarnya.

Lelaki yang digelar Mr. Ghost itu benar-benar risau dan menganggap ia sungguh memalukan jika dia terpaksa melaporkan diri kepada bekas kekasihnya.

"Saya tidak mahu mencari pekerjaan lain buat masa ini dan paling penting saya gembira membina hidup di sini.

"Saya faham yang semua ini tidak akan terjadi sekiranya saya tidak menghilangkan diri dulu, tapi saya tidak boleh berbuat apa-apa sekarang," ujar Mr. Ghost. - Mirror

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hotel Dibedil, 35 Maut

Artikel Lain