suria

Wanita Saman Restoran Gara-Gara ‘Sandwich Tikus’

Keadaan 'sandwich tikus' (kiri atas) yang dibeli oleh Manfalouti dari Chick-fil-A dan contoh gambar anak tikus yang dijumpai dalam makanan itu.

SEORANG wanita di Pennsylvania terkejut apabila melihat roti sandwich yang dibelinya dipanggang bersama tikus.

Ellen Manfalouti dari Northampton menyaman Chick-fil-A cawangan Middletown sebanyak $50,000 (RM213,875) kerana rasa mual yang teruk dan kerisauan yang dialaminya selepas makan ‘sandwich tikus’ pada November lalu.

Manfalouti, 46, memakan sandwich itu di bilik mesyuarat di tempat kerja apabila dia merasakan sesuatu yang aneh di bawah roti itu dan menyangka ia cuma hangus.

Apabila dia meletakkan lebihan sandwich itu ke atas meja, rakan satu pejabatnya, Cara Phelan, menyedari ia adalah sesuatu yang asing.

“Saya sedar ia adalah tikus kecil kerana saya dapat melihat misai dan ekornya,” kata Phelan kepada Philly.com.

Peguam Manfalouti, William M. Davis, berkata, ia adalah satu insiden yang teruk.

“Kes ini sangat melampau kerana restoran itu menghidang makanan seperti itu kepada pelanggan tanpa menyedarinya,” kata Davis kepada Bucks County Courier-Times.

“Ia juga memberi kesan yang teruk pada Manfalouti yang masih tidak pulih daripada trauma dan rasa loya yang dialaminya kerana insiden itu,” kata peguam itu.

Davis menghantar lebihan roti yang tercemar ke makmal yang dicadangkan oleh bakeri yang membuat roti tersebut.

“Makmal itu mengesahkan kehadiran tikus yang dipanggang bersama roti,” dia memberitahu wartawan.

Namun, kedua-dua bakeri dan restoran francais itu gagal menyelesaikan masalah itu.

Oleh itu, tuntutan mahkamah telah dibuat. - Huffington Post

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain