suria

33 Maut Bawah Runtuhan Bangunan Usang

MUMBAI:Bangunan usang yang usianya mencecah 117 tahun runtuh, mengakibatkan 33 nyawa melayang, manakala 10 lagi dikhuatiri terperangkap.

Kejadian melibatkan bangunan setinggi enam tingkat itu juga menyebabkan 13 lagi cedera.

Pegawai penyelamat berkata, 35 mangsa berjaya diselamatkan dari runtuhan berkenaan dan operasi mencari diteruskan bagi mengesan mangsa yang masih hilang.

Kejadian awal pagi Jumaat itu berlaku dua hari selepas Mumbai pulih dari banjir kilat dan hujan lebat yang meragut nyawa 14 orang.

Insiden runtuhan itu adalah yang kedua dalam tempoh lebih sebulan selepas runtuhan sebuah bangunan empat tingkat mengorbankan 17 penghuninya pada akhir Julai lalu.

Seorang penduduk, Amina Sheikh, berkata beliau mendengar bunyi yang sangat kuat dan tidak dapat melihat apa-apa berikutan asap tebal dan debu yang menyelubungi kawasan terbabit.

"Apabila semua debu dan asap itu reda, kami dapati bangunan lama itu telah runtuh," katanya.

Bangunan berkenaan dikatakan menjadi premis pusat penjagaan kanak-kanak walaupun disahkan tidak selamat oleh pihak berkuasa perumahan pada tahun 2011. - Reuters


Mumbai

Artikel Sebelum

Trump Bantu Mangsa Harvey

Artikel Berikut

Selfie Dengan Lembu Lepas Solat

Artikel Lain