BANGKOK: Seminggu sudah berlalu sejak bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra menghilangkan diri secara tiba-tiba dan kerajaan Thailand belum dapat merungkai misteri mengenai keberadaannya. Kerajaan termasuk polis dan angkatan tentera masih berusaha untuk mencari jawapan tentang bagaimana beliau dapat melarikan diri dari negara itu. "Kami masih tidak tahu dengan tepat keberadaan Yingluck," menurut Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan, yang juga Menteri Pertahanan merangkap menteri bertanggungjawab bagi polis kepada media tempatan baru-baru ini ketika siasatan untuk menjejajaki Yingluck rancak berjalan. Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu sepatutnya hadir di mahkamah Jumaat lalu untuk mendengar keputusan terhadapnya berhubung tuduhan melakukan kecuaian dalam subsidi beras yang jika sabit kesalahan, Yingluck boleh dipenjarakan sehingga sepuluh tahun. Ketidakhadiran beliau di mahkamah mencetuskan spekulasi oleh media bahawa beliau telah lari meninggalkan negara itu seperti mengikut jejak abangnya, Thaksin kira-kira sembilan tahun lalu pada 2008 dan kini tinggal dalam buangan. Sejak Yingluck tidak hadir di mahkamah tujuh hari lalu, media di Thailand tidak henti-henti membuat spekulasi dan teori mengenai keberadaannya. Spekulasi yang paling hangat ialah Yingluck kini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama-sama abangnya yang mempunyai sebuah rumah di kota Timur Tengah itu. Spekulasi lain memetik sumber-sumber tertinggi di kalangan dalam partinya, Pheu Thai yang mendakwa bahawa bekas perdana menteri itu merancang untuk memohon perlindungan di United Kingdom. Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha yang melahirkan rasa terkejut terhadap peristiwa yang menyusul berhubung kehilangannya telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk memulakan siasatan untuk mengenal pasti bagaimana beliau dapat melarikan diri dari negara itu. “Saya sangka beliau akan menunjukkan keberanian untuk hadir di mahkamah,” kata beliau ketika beberapa kumpulan dan aktivis politik di Thailand meningkatkan kritikan ke atas kerajaan kerana gagal menghalang Yingluck daripada melarikan diri. Kumpulan dan aktivis mahu tindakan tegas diambil jika didapati Yingluck dapat melarikan diri akibat kecuaian para pegawai tertinggi keselamatan. Timbalan Ketua Polis Nasional Jeneral Srivara Rangsibrahmanakul yang diamanahkan menjalankan siasatan mengenai kehilangan Yingluck berkata, polis meminta kerjasama daripada enam negara termasuk Kemboja, Singapura dan UAE dalam siasatan. Phnom Penh menyatakan bahawa Yingluck tidak menyeberang masuk ke sempadannya. Polis Thailand juga telah meminta bantuan daripada Interpol untuk menjejaki bekas perdana menteri itu. “Polis telah menubuhkan satu pasukan untuk mengesannya dan agensi-agensi berkaitan juga telah memantau dengan rapi pergerakan di sekitar kawasan sempadan. Para pegawai telah diarah mengemukakan laporan setiap lima hari,” kata Srivara. Sementara itu, Panglima Tentera Darat Thailand, Jen Chalermchai Sittisart memberitahu media rancangan Yingluck untuk melarikan diri telah dirancang terlebih dahulu apabila beliau meninggalkan semua telefon dan menukar kereta supaya sukar untuk menjejakinya menggunakan cara sama seperti dilakukan dahulu.” -Bernama