PERLAWANAN bola sepak antara Chelsea dan Arsenal serta konsert John Legend akan dikawal lebih ketat berikutan serangan keganasan di London. Chelsea menggesa penyokong yang ingin ke Stamford Bridge untuk perlawanan menentang Arsenal pada Ahad supaya mengambil langkah berjaga-jaga ekoran serangan di Parsons Green, yang terletak berhampiran stadium kelab itu. Bom buatan sendiri ditinggalkan di stesen kereta api itu sekitar jam 8.15 pagi Jumaat dan mencederakan sekurang-kurangnya 22 orang selepas ia meletup. Peranti itu bagaimanapun dianggap 'gagal', apabila ia tidak meletup sepenuhnya seperti mana dirancang. Chelsea kini cuba memberi keyakinan kepada peminatnya menjelang pertembungan dengan Arsenal. Mereka dalam satu kenyataan berkata: "Pada hari Ahad, kami menyeru penyokong untuk tiba sekurang-kurangnya satu jam sebelum perlawanan bermula bagi membolehkan langkah keselamatan tambahan dilakukan. "Kami juga meminta penyokong tidak membawa beg kerana ini akan menangguhkan kemasukan anda ke stadium." Polis Greater Manchester juga mengesahkan peningkatan anggota polis di konsert John Legend malam Sabtu di Manchester Arena dan juga kemungkinan pada perlawanan bola sepak di Old Trafford antara Manchester United dan Everton.