SEORANG wanita berang selepas tidak dibenarkan menaiki penerbangan British Airways dari Paris ke London pada Ahad kerana tempahan tempat duduk penuh. Dia kemudiannya mengancam bahawa pesawat itu akan meletup. Suspek yang berusia dalam lingkungan 50 tahun itu ditahan selepas membuat ancaman itu di Lapangan Terbang Charles de Gaulle. Ancaman wanita itu menyebabkan para penumpang yang menaiki pesawat Airbus A320 terpaksa dipindah keluar dan diperiksa. Insiden berlaku apabila wanita yang tiba di lapangan terbang mahu menaiki penerbangan BA0303. Dia bagaimanapun tidak dibenarkan menaiki pesawat kerana tidak mempunyai tiket yang sah. Menurut sumber siasatan kepada AFP, wanita terbabit ditahan di atas dakwaannya terhadap pesawat yang dinaiki 130 penumpang itu akan meletup. Ia menyebabkan kesemua mereka termasuk bagasi perlu menjalani pemeriksaan semula oleh pasukan keselamatan. - Mail Online