LONDON: Polis Britain menahan seorang remaja berusia 18 tahun di Dover, selatan negara itu, dalam usaha memburu dalang di sebalik letupan bom kereta api di sini yang mencederakan 30 orang. Remaja terbabit ditahan di Dover, tempat feri berlepas ke Perancis. Perdana Menteri Theresa May mengumumkan tahap keselamatan tertinggi lewat Jumaat bererti serangan dijangka sedang dirancang di negara itu. Pada masa sama polis bersenjata serta tentera dikerah mengawal lokasi strategik dan memburu suspek yang disyaki menggunakan bom buatan sendiri. Bom buatan itu melepaskan bebola api di dalam gerabak kereta api dipenuhi penumpang pada waktu sibuk, tetapi ia dipercayai gagal meletup sepenuhnya. Letupan di stesen kereta api bawah tanah Parsons Green itu adalah serangan pengganas kelima di Britain tahun ini dan diakui dilaksanakan Daesh. Sementara itu, Penyelaras Kebangsaan Kanan Polis Antikeganasan, Neil Basu berkata, pihaknya telah membuat tangkapan, bagaimanapun tahap ancaman masih dikelaskan kritikal. Semalam, Britain mengerahkan ratusan askar di tempat strategik seperti loji nuklear dan lokasi pertahanan lain untuk membolehkan polis bersenjata menumpukan sepenuhnya usaha memburu suspek kejadian berkenaan. Kali terakhir Britain diletakkan dalam keadaan amaran kritikal susulan kematian 22 orang di konsert penyanyi pop Ariana Grande di Manchester pada Mei lalu. Sebelum itu, ia diisytiharkan selepas serangan di London pada 2007.