APA yang dapat dikatakan jika didatangi tetamu istimewa berkaki empat ketika sedang bersantai di pagi hari. Seorang nenek berdepan pengalaman yang tidak dapat dilupakannya apabila sekawan 40 lembu tiba-tiba memenuhi pekarangan kediamannya. Bukan setakat berkumpul, malahan haiwan ternakan itu memakan bunga di taman kediamannya di Bollington, Cheshire. Janis Wilson, 61 sedang menikmati secawan teh di ruang tamu kediamannya pada pukul 9 pagi apabila terdengar bunyi bising di luar. Sebaik melihat kehadiran haiwan berkenaan, temannya, Steve Loxam, 61 bergegas keluar menghalau sekawan lembu itu. Bersama jirannya, Steve berusaha memastikan tiada lagi ternakan itu berada di halaman rumah mereka. Nenek kepada lima cucu itu berkata, lembu itu berlegar-legar di pekarangan halaman rumahnya sambil meragut tanaman di situ. "Boleh dikatakan antara 30 hingga 40 ekor lembu ada di laluan depan rumah kami dan juga di halaman. "Situasi itu berlarutan hingga kira-kira setengah jam sehingga polis datang. "Tidak dapat dipastikan dari mana datangnya lembu itu," katanya.